Celcom dakwa bebas judi
Oleh Maiamalina Mohamed Amin
KUALA LUMPUR: Peraduan Celcom 100 Hari 100 Kereta anjuran Celcom (Malaysia) Berhad yang menawarkan hadiah sebuah Toyota Camry 2.0E 1AZ-FE mengguna pakai mekanisme diluluskan kerajaan, dan bukan berunsurkan perjudian seperti didakwa sesetengah pihak.
Ketua Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata sebelum melancarkan peraduan itu, Ahad lalu pihaknya sudah berbincang dengan mereka yang arif serta turut menitik beratkan pandangan dari sudut Islam.
Katanya, tiada sebarang unsur perjudian digunakan dalam peraduan itu, sebaliknya pelanggan perlu menjawab soalan dengan tepat menerusi SMS yang dikenakan RM5 setiap satu.
“Pendekatan peraduan 100 Hari 100 Kereta ini sama sekali tidak berunsurkan judi atau melanggar hukum Islam kerana pelanggan hanya diuji dari segi keupayaan pengetahuan am mereka, manakala pemenang pula dipilih berdasarkan jawapan paling tepat dan pantas, bukan pilihan rambang atau cabutan bertuah.
“Pihak kami pun bukan jahil sangat sampai tidak tahu apa yang benar dan apa salah, sebab itu dari awal sudah nyatakan kepada pelanggan setiap SMS mereka dikenakan RM5,” katanya pada pemberita di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama Timbalan Presiden Komunikasi Korporat Celcom, Datuk Najmuddin Abdullah.
Shazalli berkata, beliau kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang cepat berprasangka buruk terhadap peraduan 100 Hari 100 Kereta, sebelum mencubanya.
Menurutnya, peraduan itu bukan menguji nasib sebaliknya menguji skil dan keupayaan, justeru tidak wajar dikatakan bertentangan hukum Islam atau haram.
“Kita tidak menggunakan kaedah cabutan bertuah yang meragukan malah pemenang juga dipilih berdasarkan ketepatan dan kepantasan menjawab soalan, jadi tidak tepatlah kalau ada mendakwa mekanisme peraduan bercanggah fatwa.
“Bagaimanapun, jika pihak berkuasa mahupun majlis mufti masih meragui pendekatan peraduan ini, saya sedia membenarkan mereka melihat sendiri proses pemilihan pemenang dan perjalanan peraduan.
“Ini kerana Celcom tidak ada apa-apa yang mahu dirahsiakan malah peraduan 100 Hari 100 Kereta ini juga pernah dijalankan di Moroco, negara Islam seperti kita,” katanya.
Selasa lalu, Celcom mengumumkan suri rumah dari Pontian, Johor, Suzana Padupai, 36 sebagai pemenang pertama Toyota Camry yang disiarkan menerusi program `Scoreboard’ TV3.
“Peraduan terbuka kepada pelanggan pasca bayar dan pra bayar Celcom, namun setakat ini 24 hingga 25 peratus pelanggan pasca bayar menyertai peraduan ini.
“Justeru, kita juga akan meneruskan peraduan ini seperti biasa,” katanya.
========================
FATWA PERADUAN SMS OLEH MAJLIS FATWA TAHUN 2004
Peraduan SMS haram -- Majlis Fatwa putuskan kuiz ada unsur eksploitasi dan perjudian
Oleh: NOR AZIAH JAAFAR
PUTRAJAYA 27 Julai - Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan bahawa peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah haram kerana mengandungi unsur perjudian.
Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, keputusan itu berdasarkan beberapa hujah dan latar belakang peraduan tersebut yang bersifat samar-samar, mengandungi unsur eksploitasi dan penipuan.
Selain itu, katanya, ia bergantung kepada nasib dan wang pertaruhan.
Menurut beliau, jika disebut judi, ia bergantung kepada nasib dan wang pertaruhan yang tidak menentu serta mengeksploitasi duit orang ramai sedangkan yang mendapat keuntungan adalah pihak tertentu dalam bilangan yang terhad.
Dalam konteks kuiz melalui SMS, katanya, orang ramai terpaksa mengeluarkan wang untuk menyertai sesuatu kuiz melalui penghantaran SMS dengan harapan akan menang sedangkan yang mendapat keuntungan daripada kemenangan adalah sebilangan kecil peserta sahaja.
``Dalam kuiz sedemikian banyak peserta dapat menjawab dengan baik, tetapi mereka kena bersaing dengan orang lain untuk menang.
``Umpamanya mata minimum adalah 200 dan dia kena belanja RM20 untuk SMS, kalau nak lebih daripada itu, dia kena keluar duit yang banyak untuk kirim SMS hingga beribu-ribu ringgit.
``Tetapi akhirnya dia tidak mendapat apa-apa pulangan dan perkara ini tidak diharuskan oleh agama kita,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan di sini, hari ini.
Mesyuarat itu diadakan khusus untuk membincangkan mengenai berleluasanya penganjuran kuiz melalui SMS di negara ini sejak akhir-akhir ini termasuk promosi di media massa sehingga ada peserta tidak menyedari mereka kerugian beribu-ribu ringgit.
Beberapa stesen televisyen swasta turut menganjurkan pelbagai Kuiz SMS yang menawarkan pelbagai hadiah antaranya Maxmillion, Malaysia Idol SMS Challenge dan SMS Game.
Menurut Ismail, fatwa mengharamkan peraduan kuiz melalui SMS ini bukan bermakna agama Islam menolak kemajuan dalam bidang teknologi maklumat (ICT).
Sebaliknya, kata beliau, banyak kemudahan tersebut seperti e-mel dan Internet digunakan untuk kerja-kerja pendakwahan.
Bagaimanapun, katanya, dalam hal ini majlis tersebut tidak boleh membiarkan kemajuan teknologi digunakan bercanggah dengan hukum agama, oleh itu fatwa tersebut perlu dikeluarkan memandangkan ia merupakan satu perkara baru yang orang ramai masih tidak memahami hukumnya dari segi agama.
Malah, kata beliau, fatwa tersebut adalah selaras dengan garis panduan mengenai penganjuran peraduan bertujuan promosi komersial yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 20 April lalu bagi menentukan sama ada ia mengandungi unsur perjudian atau tidak.
Menurutnya, Kementerian Kewangan telah mentakrifkan penganjuran atau penyertaan dalam acara cabutan bertuah atau permainan yang bergantung kepada nasib adalah termasuk di bawah gaming atau lottery mengikut Seksyen 2 Akta Rumah perjudian Terbuka 1953 dan tidak mengeluarkan permit bagi tujuan penganjurannya.
Ismail memberitahu, menurut garis panduan itu, sesuatu peraduan adalah merupakan perjudian atau loteri berdasarkan tiga fakta.
Katanya, fakta tersebut ialah pembahagian hadiah; permainan atau perjalanannya secara cabutan atau nasib; dan wujudnya sumbangan secara langsung atau tidak langsung oleh peserta.
``Kalau perjudian dan loteri diharamkan oleh undang-undang sivil, maka ia perlulah diikuti oleh semua pihak termasuk syarikat yang menganjurkannya.
Beliau memberitahu, jika fatwa serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan diikuti, ia dapat dijadikan panduan yang amat baik dalam mengendalikan teknologi baru tersebut.
``Oleh itu orang Islam eloklah patuhi fatwa ini kerana kita sudah timbang dari semua sudut malah jika mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, pihak syarikat yang menganjurkan peraduan yang bercirikan perjudian harus mengambil tindakan sendiri menghentikannya,'' ujarnya.
Ismail memberitahu, sebelum fatwa tersebut boleh dijadikan sebagai undang-undang, ia perlu diwartakan di peringkat negeri oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri memandangkan kuasa dari segi agama terletak di tangan raja-raja.
Beliau seterusnya meminta setiap negeri segera mewartakan fatwa mengenai SMS tersebut memandangkan semua mufti telah bersetuju dengan keputusan untuk mengharamkan peraduan kuiz melalui SMS itu.
``Semua mufti kena bawa perkara ini ke dalam Majlis Fatwa Negeri untuk diwartakan. Apabila diwartakan di negeri mereka, barulah ia menjadi undang-undang dan penguatkuasaannya pula adalah di bawah Majlis Agama Islam Negeri,'' ujarnya.
Beliau memberitahu, jika terdapat pihak yang melanggar fatwa tersebut selepas ia diwartakan, Jabatan Agama Islam Negeri akan menyiasat dan membuat dakwaan di Mahkamah Syariah yang akan menentukan hukuman mengikut peruntukkan sedia ada.
UTUSAN MALAYSIA - 28 JULAI 2004 (RABU)
No comments:
Post a Comment