Saturday, March 22, 2008

Tersembunyi di sebalik senyum


Piliharaya Umum ke-13 telah berlabuh. Fajar baru menyingsing. Semua sudah maklum kejutan terbesar sepanjang sejarah 50 tahun kemerdekaan telah berlaku dengan kegoncangan dahsyat kubu BN. Strategi satu-lawan-satu pakatan PAS-PKR-DAP di hampir 100% kawasan piliharaya telah merobek kejaguhan BN yang selama ini dianggap sukar ditembusi di kubu-kubu kuatnya.

Walau menang secara keseluruhannya, BN nyata sekali goyah. Bahkan tidak sedikit yang menganggap BN menunggu masa rebah.

Menang atau kalah, masing-masing mengukir senyum mengikut niat masing-masing. Ada yang senyum puas kerana menang di luar jangkaan. Ada yang senyum kambing dalam kerana tidak bersedia untuk tewas, tapi wajah perlu digagahkan untuk membuktikan dia sebenarnya tidak tewas dan tercantas, tapi masih cergas untuk membalas.

Dalam senyum puas atau senyum tewas, cabaran baru kini menanti. Menyambutnya dengan senyum tentulah petanda baik. Yang menang merasa puas tapi jangan terbuai oleh rasa diri kerana amanat besar sedang menanti. Balaslah kepercayaan pengundi dengan khidmat ikhlas, jujur dan dedikasi tinggi. Yang tertewas, ini masanya merehat diri, muhasabah diri dan mencurah bakti dalam ruang lain pula.

Kalau kita ikhlas untuk berbakti, dalam jawatan tinggi atau hanya berstatus peribadi, kita tak akan kenal erti berhenti menabur jasa. Kalau benarlah selama ini kita menjaja slogan perjuangan untuk rakyat, buktikanlah ia dalam keadaan kita menang atau tewas. Walau telah berlalu 13 hari berkempen sana-sini menabur senyum seri dan nyeri, senyuman akan tetap terukir untuk 5 tahun lagi.

Mulakan hari-hari depan bangsa kita dengan senyum penuh erti. Berjiwa besarlah wahai bangsaku. Kalah dan menang kita, hanyalah cara untuk mendudukkan posisi perjuangan kita untuk bangsa ini. Jadi kerajaan atau pembangkang, jalankanlah amanah kita secara penuh bertanggungjawab. Insya Allah, inilah langkah awal kita membina satu senario politik berwajah baru, di mana perbezaan aliran politik tidak menjad sekatan untuk kita sama-sama membangun bangsa ini menjadi bangsa yang dihormati.