Friday, October 28, 2011

Khutbah Negeri Perak 28 Oktober 2011


*AMARAN!!! Pihak JAIPk tidak bertanggungjawab ke atas sebarang penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan.
MENUNTUT  HAJI  MABRUR  ITU  JIHAD.
(01 Zulhijjah 1432 / 28 Oktober 2011)

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ اَكْمَلَ لِهَذِهِ اْلأُمَّةِ شَرَائِعَ اْلإِسْلاَمِ وَفَرَّضَ عَلَ الْمُسْتَطِيْعِ مِنْهُمْ حَجَّ بَيْتِهِ الْحَرَامِ وَرَتَّبَ عَلَيْهِ جَزِيْلَ الْفَضْلِ وَاْلاِنْعَامِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ وَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ خَرَجَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ نَقِياًّ مِنَ الذُّنُوْبِ وَاْلآثاَمِ وَذَلِكَ هُوَ الْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ وَالْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ اِلاَّ الْفَوْزُ بِالْجَنَّةِ دَارِالسَّلاَمِ  اَحْمَدُهُ وَاَشْكُرُهُ وَاَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ السَّلاَمُ  وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَفْضَلُ مَنْ صَلَّي وَزَكَّى وَحَجَّ وَصَامَ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ الْبَرَرَةِ الْكِرَامِ  وَعَلَى التَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِاِحْسَانٍ مَا تَعَاقَبَتِ اللَّياَلِيَ وَالأَياَّمِ وَسَلِّمَ تَسْلِيْماً. اَماَّ بَعْدُ  فَيا أَيُّهَا النَّاسُ اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah sekelian,
Di  hari  Jumaat  yang  penuh dengan  kemuliaan  serta keberkatan  ini,  marilah  sama-sama  kita  memujuk  hati  kita untuk bertakwa  kepada  Allah  swt,  iaitu  dengan berusaha  bersungguh-sungguh  mematuhi  kesemua  ajaran  agama Allah,  melaksanakan  semua yang disuruh dan  meninggalkan kesemua  yang  dilarang semoga  kita  tergolong  dari  hambanya  yang dijanjikan beroleh rahmat  serta pengampunanNya  dan dibalas dengan  SyurgaNya,  di Akhirat  sana,  Amin.
Muslimin  yang  dirahmati  Allah.
Musim Haji menjelma lagi. Ianya  mengembalikan  kenangan  kita kepada sejarah hampir  5,000  tahun  yang  lampau  iaitu  kisah Nabi Allah Ibrahim a.s,  bapa  para Nabi.  Beliau  telah  menghabiskan  seluruh  umurnya  untuk  mengabdikan  diri dan berkorban kepada Allah. Beliau telah berpindah  dari  satu  negeri  ke satu  negeri  dari  Mesopotamia  sampai  ke Palestin lalu terus  ke Mesir  dan akhirnya menetap  di  tanah  suci  Makkatul Mukarromah.  Baginda  telah  menempa  sejarah  yang  sangat  luhur  yang  terus  bersemadi  di hati  umat  manusia  selama  bumi  ini  disinari  oleh  bulan dan mentari.
Nabi Allah Ibrahim as. telah diperintahkan Allah untuk meninggalkan  Isterinya  Siti  Hajar  bersama  Puteranya  Ismail  yang  masih  kecil  di bumi yang tandus, kontang dan  sunyi. Dengan  rahmat  Allah,  terpancarlah,  Air zamzam  untuk  dijadikan  minuman  mereka. Kemudian  Nabi  Ibrahim  kembali lagi  kepada  keluarganya setelah Ismail  remaja, dan beliau telah diperintahkan  oleh Allah untuk  menyembelih  puteranya  Ismail. Dengan penuh ketaatan Nabi Ibrahim telah melaksanakan segala perintah itu, lalu  Allah menggantikan Nabi Allah Ismail dengan  seekor  kibas  yang  besar. Untuk meneruskan pelaksanaan korbannya. Berdasarkan peristiwa  inilah,  lahirnya syariat penyembelihan binatang KORBAN ,  yang mana hukumnya adalah Sunnat  Muakkad  kepada  umat  Nabi  Muhammad  saw. Sebagai salah satu bentuk pengabdian yang boleh menghampirkan diri setiap hamba kepada Allah SWT.  Sebagaimana  Firman Allah dalamk surat Al- Haj 37
Daging dan darah binatang korban   itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. 
Kemudiannya Allah telah mengangkat  Ismail  menjadi  Nabi , dan Allah memerintahkan Nabi  Ibrahim  membina  Kaabah, lalu dibinanya  bersama  puteranya  Nabi  Ismail a.s. 
Sidang  Jumaat  yang  berbahagia.
Begitulahlah   amal-amal  Ibadah  dan  kebajikan-kebajikan  umat terdahulu yang terus  segar  di kalbu setiap  Umat Islam terutamanya sewaktu   menunaikan  Ibadah  Fardhu Haji. Segala  yang  diperintahkan  oleh  Allah  dipatuhi  dan  dilaksanakan  dengan  rasa  tawaduk,  ikhlas  dan rendah  diri  kepada  Allah. Segala  amalan-amalan   haji  itu samada yang rukun,  fardhu dan  sunat hendaklah dilaksanakan dengan  bersungguh-sungguh.  Kesemuanya dilaksanakan  dengan penuh pengharapan  semoga  mendapat  rahmat, keampunan dan keredhaan daripada  Allah swt dan yang penting   ibadah  hajinya  diterima  Allah  dengan  mendapat  Haji  Mabrur  yang mana  Allah  menjanjikannya dengan  balasan Syurga.

Hadirin  yang  dirahmati Allah.
Dalam  hal  ini  Imam Al-Ghazali  menyatakan  bahawa  dengan  mengerjakan  ibadah  haji,  seorang  mukmin akan merasai  kerinduan  yang  sangat  mendalam  kepada  Allah, mereka menjadi tetamu Allah datang ke baitullah.  Mereka  dengan  rela  hati telah meninggalkan segala yang mereka sayang termasuk kampung  halaman, keluarga,  sanak-saudara,  harta-benda dan sahabat-handai  dengan  menempuh perjalanan yang jauh, semata-mata  untuk  mengabdikan diri  kepada  Allah SWT. Menurut  sejarah,  ibadah  haji  adalah  satu-satunya  ibadah  yang  telah  sekian  lama  diamalkan  oleh  umat  manusia , sebagai  amalan  yang  menghubungkan  jiwa seorang  hamba  dengan  Tuhannya.  Kemudian  ianya  disyariatkan  kepada  junjungan kita  Rasulullah  saw  dan  umatnya  lalu  seruan  dan  panggilan  ini  disambut  dan  dijawab   oleh  umat  Islam   dengan  laungan  Talbiah,
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ،لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، اِنَّ الْحَمْدَ، وَالنِّعْمَةَ،
لَكَ وَالْمُلْكُ, لاَ شَرِيْكَ لَكَ
“Wahai  Tuhan  kami,  Wahai  Tuhan  kami,  kami  datang  semata-mata dengan  ikrar  penuh  taat-setia menjunjung  perintahMu.  Wahai  Tuhan yang  tiada  sekutu  bagiMu,  kami  datang menyahut  seruanMu,  sesungguhnya  segala  puji serta  segala  limpahan  rahmat adalah  milikMu,  yang  datang  dariMu  dan  hanya untuk Mu,  Ya  Allah,  Engkaulah  Tuhanku  tiada  sekutu  bagiMu.

Saudaraku yang dikasihi Allah,
Setiap  bakal  haji  mengharapkan  agar dikurniakan  oleh  Allah  Haji yang Mabrur  iaitu  haji  yang  menghapuskan segala  dosa-dosanya, menambahkan iman  dan takwanya, menjadikannya istiqamah dengan  amal-amal  soleh,  menghalangnya  dari  mengulangi  kerja-kerja  mungkar  dan  maksiat.   Lidah dan hatinya akan menjadikannya banyak  berzikir, tidak lagi bercakap perkara-perkara lagho yang tidak berfaedah. Orang yang mendapat Haji yang Mabrur akan menjadikan masjid dan  surau sebagai tempat yang dicintainya, majlis  ilmu menjadi hiburan baginya, Al-Quran akan menjadi teman setianya.  Begitulah  tingginya  nilai Haji yang Mabrur  yang  dijanjikan  oleh  Allah swt  kepada  setiap  orang  mukmin  yang  menjadi  harapan  setiap  mereka  yang  dikurniakan  taufik  hidayah  dari  Allah swt. Sabda  Rasulullah  saw:
اَلْعُمْرَةُ اِلىَ الْعُمْرَةِ كَفَارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ اِلاَّ الْجَنَّةَ- البخاري والمسلم
Ibadah umrah ke satu  umrah,  menghapuskan  dosa-dosa  yang berlaku  di antara  keduanya  dan Haji  Mabrur itu tidak ada balasan baginya kecuali  syurga.
Ummul mukminin,  Saidatina   Aisyah r.a,  pernah  bertanya  kepada  Rasulullah saw,  apakah  ibadah  yang  paling  utama?  baginda  menjawab:  “sebaik-baik  jihad  itu,  ibadah  haji  yang  mabrur”.   Dalam  sebuah  hadis  riwayat  Abu Yu’la,  dari  Abu  Hurairah  r.a,  Baginda Rasulullah  Saw  bersabda yang bermaksud :
 “Sesiapa  yang  meninggalkan  rumahnya  untuk  menunaikan  Haji, lalu  meninggal  dalam  perjalanan nya,  Allah  menulis  pahalanya  sehingga  ke Hari Qiamat dan sesiapa  yang  berangkat  untuk  mengerjakan  umrah,  lalu  ia  meninggal  dalam  perjalanannya  maka  pahala  umrahnya  tetap  sampai  pada  hari  Qiamat  dan  sesiapa  yang  keluar  untuk  perang  fisabilillah,  lalu  ia  meninggal  dalam  perjalanannya maka pahala  jihadnya  ditulis  pada  Hari  Qiamat”.
Mafhum hadis-hadis  di atas, memberi  penilaian  yang  sama  mengenai  pahala  ibadah  haji dan umrah, dengan pahala  berjihad  Fisabilillah.

Muslimin  yang  dirahmati  Allah,
Mengakhiri  khutbah  hari  ini,  saya ingin  menyeru dan mengingatkan dua perkara:
Pertama :
Bagi mereka  yang  belum berkesempatan  menunaikan  haji, agar berniat, berazam serta berusahalah dari sekarang untuk menyimpan dan mengumpulkan sebanyak mungkin wang bagi  keperluan atau perbelanjaan  untuk  menunaikan  ibadah  haji  ke Baitullah, sekaligus menyempurnakan tuntutan rukun Islam.. 
Kedua :
Bagi  mereka  yang telah berkemampuan serta  memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, diingatkan agar tidak mencipta alasan atau bertangguh untuk menunaikan ibadah tersebut. Ada kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan:  “belum sampai seru” apabila ditanya kepada mereka yang berkemampuan. Dalam  hal  ini,  Saidina  Ali Karamallahu  wajhah  meriwayatkan,  Baginda  Rasulullah  saw  bersabda:
عَنْ عَلِيْ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَلَكَ زَادًا  وَرَاحِلَةً تُبَلِّغُهُ اِلَىْ بَيْتِ اللهِ الْحَرَامِ وَلَمْ يَحُجَّ فَلاَعَلَيْهِ اَنْ يَمُوْتَ  يَهُوْدِياًّ  اَوْ نَصْرَاِنيًّا  وَذَلِكَ اِنَّ اللهَ  يَقُوْلُ  فِيْ كِتاَبِهِ  وَلِلَّهُ  عَلَى  النَّاسِ  حِجُّ  الْبَيْتِ  مَنِ اسْتَطَاعَ  اِلَيْهِ  سَبِيْلاً
“Barangsiapa  yang  telah  mempunyai  bekalan untuk  perjalanan  menyampaikannya  ke Baitullahilharam  untuk  menunaikan  haji  tetapi  ia  menangguh-nangguh  dan  melambat-lambatkan  dari  menunaikan  ibadah  hajinya,  tiba-tiba  ia  mati  sebelum  menunaikan  hajinya  maka  matinya  sama  dengan  mati nya  kafir  Yahudi  dan  kafir  Nasrani.  Untuk  menegaskan   lagi pentingnya  Ibadah  haji  ini,  Rasulullah  saw,  membacakan  firman  Allah swt,  yang  bermaksud:  menunaikan  ibadah  Haji  itu  adalah  wajib  dan  difardhukan  oleh  Allah swt  kepada  setiap  orang  mukmin  yang  mampu  dan cukup  syarat-syaratnya.(Hadis  Riwayat  At-Tirmizi)

Firman  Allah :
           
 “Masa  untuk mengerjakan  Ibadah  Haji  itu  ialah  beberapa  bulan  yang  tertentu  (iaitu  bermula  1  Syawal,  berakhir  apabila terbit  Fajar  hari ke 10,  Zulhijjah).  Oleh  yang  demikian,  sesiapa  yang  telah  mewajibkan dirinya,  dengan  niat  mengerjakan  ibadah  haji  itu,  maka  tidak  boleh  mencampuri  isteri  dan  tidak  boleh  membuat  maksiat  dan  tidak  boleh  bertengkar  dalam  masa mengerjakan  ibadah  haji.              Dan  apa  jua  kebaikan  yang  kamu  kerjakan  adalah  diketahui  oleh  Allah,  dan  hendaklah  kamu  membawa  bekal  dengan  secukupnya  kerana  sesungguhnya,  sebaik-baik  bekal  itu  ialah memelihara  diri  dari  keaiban  dengan  meminta  sedekah,  dan  bertakwalah  kepadaKu, wahai  orang-orang  yang berakal yang  dapat  memiki dan  memahaminya.”            (Al-Baqarah ayat 197).

Kita berdoa  semoga saudara kita yang menunaikan haji  pada tahun ini diberikan kekuatan, kelantaran  dan kesehatan sehingga dapat menunaikan ibadah  haji dengan sempurna,  Dan begitu juga  saudara-saudara  kita  yang berniat melakukan ibadah kurban, semoga Allah memudahkan rezeki mereka dan menggantinya dengan yang lebih,  dan semoga Allah menjadikan kita semua  menjadi hambanya yang sentiasa menghampirkan diri kepada Allah  sesuai dengan semangat  ibadah haji dan kurban 
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ

Thursday, October 06, 2011

Khutbah Masjid-masjid Negeri Perak 7 Oktober 2011




*AMARAN!!! Pihak JAIPk tidak bertanggungjawab ke atas sebarang penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan.

( 9 Zulkaedah 1432H /  7 Oktober 2011M)
HIDUP INI MEDAN UJIAN


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ ﴿٢﴾
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) - Surah al-Mulk:2


أَشْهَدُ   أَنْ لآإِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ   أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ  وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ  وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اتَّقُواْ  اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ  وَأَنْتُمْ  مُّسْلِمُوْنَ



Wahai hamba-hamba Allah sekelian!

        Siapa pun kita, sebesar mana pun kedudukan kita, sekaya manapun kita, insaflah bahawa akhirnya kita akan kembali menemui Allah SWT apabila tiba saat dan ketikanya. Semuanya kita akan tinggalkan kecuali bekalan sejauh mana kita berjaya laksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah merangkap khalifahNya di atas muka bumi ini. Maka bertaqwalah kita kepada Allah SWT kerana taqwalah sebaik-baik bekalan kita apabila menemui Allah SWT kelak.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

        Naluri semulajadi sebagai ibu dan bapa sudah tentu menginginkan anak-anak mereka berjaya di dalam peperiksaan yang dilalui oleh anak-anak kesayangan mereka. Seolah-olah peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM dan lain-lain peperiksaan itu umpama ‘medan perang’ yang menentukan hidup mati anak-anak mereka di masa hadapan. Segala prasarana dan kemudahan cuba sedaya upaya disediakan agar mendapat deretan ‘A’ tercatat dalam slip keputusan peperiksaan anak-anak mereka.

        Islam tidak pernah sekali-kali menghalang dan mencantas naluri semulajadi ini, bahkan Islam mendorong agar penganutnya mengungguli setiap kecemerlangan yang tidak bertentangan dengan syarak seperti kecemerlangan di dalam peperiksaan kerana ia akan membawa wajah yang cantik dan indah kepada Islam, lebih-lebih lagi di dunia persaingan yang lebih terbuka dengan penganut-penganut agama yang lain.

        Namun perlu diinsafi oleh kita bahawa, Islam memerintahkan kita sebagai bapa mengajarkan  kepada anak-anak kita bahawa kecemerlangan sebenar adalah kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Peperiksaan umum yang telah dan akan kita duduki adalah peperiksaan-peperiksaan kecil yang telah kita sedia maklumi sukatannya, telah kita maklumi tarikh dan jangkamasa untuk menjawabnya bahkan kita mampu menghafal jawapan-jawapannya.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

        Sebenarnya di hadapan kita, banyak lagi peperiksaan- peperiksaan yang akan kita tempuhi dari masa ke semasa. Bentuk soalannya yang berbagai-bagai yang perlu kita jawab adakalanya dengan pertuturan dan adakalanya dengan tindakan. Kita diuji dengan senarai perintah-perintah Allah SWT untuk kita laksanakan, kita diuji dengan senarai larangan-larangan Allah SWT untuk kita jauhi. Tidak ada had umur tertentu untuk menduduki peperiksaan-peperiksaan ini melainkan kita akan menerima sijil berhenti sekolah dengan diberikan kepada waris kita satu sijil kematian. Malah semasa di alam barzakh, kita akan terus diajukan soalan demi soalan untuk memastikan ketenangan atau kesengsaraan kita untuk tinggal di dalamnya. Sabda Rasulullah SAW :

ماَ تَزَالُ قَدَمَا عَبدٍ يَومَ القِيَامَةِ حَتَّى يُسأَلَ عَن أَربَعٍ عَن عُمرِهِ فِيمَ أَفنَاهُ وَعَن شَبَابِهِ فِيمَا أَبلاَهُ وَعَن مَالِهِ مِن أَينَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنفَقَهُ وَعَن عِلْمِهِ مَاذَا عَمِلَ فِيهِ
Tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia ditanyai tentang empat soalan; tentang umurnya pada perkara apakah ia musnahkan, tentang zaman mudanya untuk tujuan apa dihabiskan, tentang hartanya daripada mana ia perolehi dan di mana ia habiskan, tentang ilmunya apakah yang dipraktikkan.(Hadith sahih dalam al-Targhib wa al-tarhib )

         Prestasi dan kemampuan sebenar kita, akan kita terima keputusannya pada hari graduasi sebenar tatkala kita menerima catatan amalan kita samada melalui tangan kanan atau sebelah belakang. Firman Allah SWT :

فَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ ﴿٧﴾ فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًۭا يَسِيرًۭا ﴿٨﴾ وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ مَسْرُورًۭا ﴿٩﴾ وَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ وَرَآءَ ظَهْرِهِۦ ﴿١٠﴾ فَسَوْفَ يَدْعُوا۟ ثُبُورًۭا ﴿١١﴾ وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا ﴿١٢﴾
kemudian sesiapa yang diberi surat amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.(Surah al-Insyiqaq 7-12)


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

        Bertitik tolak dari kefahaman di atas, seorang ayah sepatutnya tetap tidak bergembira jika anaknya beroleh 5A di dalam UPSR jika anaknya gagal melaksanakan 5 kali solat sehari semalam. Kita sepatutnya tidak terlalu gembira bila anak kita mampu menjawab semua soalan peperiksaan namun gagal menjawab satu soalan mudah iaitu  ‘ mengapa kamu tidak menutup aurat? ’. Apalah sangat kecemerlangan dengan mahirnya anak-anak kita dalam membaca, menulis dan mengira (3M) jika dia gagal dan tidak tahu membaca al-Quran. Kerajaan sepatutnya tidak berbangga dengan peningkatan prestasi pencapaian peratusan matapelajaran setiap tahun sedangkan peningkatan ini mengiringi peningkatan kes buang bayi, ponteng sekolah, penagihan dadah dan sebagainya.

        Oleh kerana falsafah kebendaan telah menguasai masyarakat kita, sehingga kejayaan diukur dengan pencapaian material maka falsafah peperiksaan ini semakin tersasar sehingga ada kes anak-anak dihalang memasuki peperiksaan disebabkan kononnya demi menjaga prestasi sekolah. Beritahulah anak-anak kita bahawa niatkanlah kejayaan dalam peperiksaan untuk berkhidmat kepada agama nescaya akan lajulah mereka meluru ke arah kejayaan-kejayaan yang lain.

        Setiap kali datangnya musim peperiksaan sepatutnya mengingatkan kita tentang peperiksaan sebenar yang sedang dan bakal kita hadapi, nescaya kita akan cuba menyediakan jawapan yang sebaik-baiknya melalui tindakan dan amalan kita. Samada kita seorang ayah mahupun seorang anak, kita semua adalah sama di sisi Allah dari sudut kita sedang dan akan diuji olehNya seterusnya kita akan dihujani dengan soalan-soalan yang akan menzahirkan sejauh mana kita menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan sebagai khalifahNya.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.   

Thursday, September 29, 2011

Khutbah Masjid an-Nur, UTP, 30 Sept 2011

TAWADHU ITU PENTING

Khutbah Jumaat 30 September 2011 Masjid An- Nur

Sidang Jumaat yang saama- sama mencari keridhaan Allah SWT. Marilah kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah kerana masih lagi dikekalkan nikmat Iman dan Islam, nikmat keamanan dan keselesaan. Juga marilah kita tingkatkan akhlak mulia untuk mengokohkan keimanan dan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Sebagaimana sabda Baginda Orang mukmin utama imannya, adalah orang mukmin yang terbaik akhlaknya.

Al- Quran mengajarkan, salah satu sifat utama yang perlu dimiliki oleh seorang mukmin adalah sifat tawadhu, iaitu sifat rendah hati. Bahkan Allah menyebutkan bahwa hamba-hamba Allah yang Maha Rahman ”Ibadur-Rahman” akan sentiasa berjalan di muka bumi dengan rendah hati tanpa ada rasa bangga dan sombong yang bersarang dalam dada mereka. sebagaimana Allah swt berfirman:

"Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah), orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik." (QS. Al-Furqan [25] : 63)

Tawadhu’ adalah sifat mulia yang menjadikan seseorang tidak merasa lebih besar dari orang lain dan tidak merasa lebih tinggi dari yang lain. Bagi orang-orang yang tawadhu’ manusia lain sama kedudukannya dengan dirinya walaupun dia sedang berada dalam kedudukan tinggi dalam pandangan manusia. Orang-orang yang tawadhu’ menyadari bahwa kemuliaan seseorang bukan dilihat dari kedudukan dan jabatannya, bukan dari pangkat dan hartanya, tetapi mereka di lihat dari ketakwaan yang melekat pada dirinya. Nilai dan kemuliaan seseorang di sisi Allah adalah tergantung pada ketinggian takwanya. Sebagaimana yang Allah tegaskan dalam firman-Nya:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (QS. Al-Hujurat [49] : 13)

Ketawadhuaan seseorang tidak akan mengurangi kehormatannya dan tidak pula akan merendahkan kedudukannya. Bahkan sebaliknya, seseorang yang memiliki kedudukan tinggi dan posisi terhormat, kemudian berendah hati maka dia akan menjadi buah bibir di tengah masyarakat karena kerendahan hatinya, yang sekaligus mengangkat derajatnya di mata manusia, dan manusia tidak akan iri dan mendengki akan kedudukannya. Sebaliknya manusia yang tinggi kedudukannya dan sombong pada sikapnya, maka akan banyak orang yang dengki padanya.

Marilah kita sama-sama menyimak dengan seksama sabda baginda Nabi Muhammad Saw berikut:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلاَّ عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ

"Sedekah itu tidak mengurangi harta, dan tidaklah seseorang itu suka memberi maaf kecuali Allah angkat dia menjadi mulia, dan tidaklah seseorang merendah hati kecuali Allah akan angkat derajatnya." (HR. Ahmad, Muslim, Tirmidzi dan Ibnu Hibban).

Gambaran berikut akan memperjelas bagaimana sikap tawadhu, atau sikap merendah hati itu boleh mengangkat derjat seseorang. Adalah Khalifah Umar bin Khattab, pada suatu hari dia berjalan di tengah terik matahari sambil menutupkan selendangnya di kepalanya untuk mengelakkan dari kepanasan. Ketika itu lewatlah seorang anak muda yang menunggang seekor keledai. Berkatalah Umar padanya, “Wahai anak muda bawalah aku bersamamu!”

Maka turunlah anak muda itu dari keledainya dengan melompat seraya berkata, “Naiklah wahai Amirul mukminin!”

Melihat anak muda itu turun dari keledainya dan mempersilahkan dirinya naik sementara dia harus berjalan kaki, maka Umar berkata, ”Tidak! Naiklah engkau, dan bawalah aku di belakangmu.

Apakah engkau akan membawaku di tempat yang baik sementara engkau berjalan di atas tanah yang kasar?” Maka anak muda tadi menaiki keledainya dan memasuki Madinah sementara Umar berada di belakangnya dan penduduk Madinah melihat mereka.

Sebuah ketawadhu’an yang sangat dramatis, indah dan mengagumkan. Ketawadhu’an inilah yang kemudian menjadi cerita yang ditulis dengan tinta emas oleh para sejarawan setelah Umar meninggal ratusan tahun lamanya. Namun namanya tetap wangi semerbak karena sikapnya yang tawadhu’ ini.

Tapi Perhatikanlah sejarah kehidupan Fir’aun, Qarun, Abu Jahal, Abu Lahab yang juga berkedudukan tinggi di zamannya, namun mereka kini menjadi cemohan bangsa-bangsa dan ummat manusia hingga akhir zaman. Mereka Allah rendahkan kedudukannya karena mereka meninggikan diri di hadapan manusia.

Sidang Jummat yang sama-sama mengharapkan keridhaan Allah. Kisah ini juga akan memberikan pelajaran bagi kita. Dalam sebuah riwayat yang diceriterakan oleh Ibnu Saad dari Tsabit dia berkata, : "Pada masa Salman menjadi Gubernur Madain ada seseorang yang datang dari wilayah Syam dari kalangan Bani Tamim dengan membawa sebakul buah tiin. Sementara Salman memakai seluar yang biasa dipakai orang bukan Arab dan berbaju panjang. dan dia tidak mengetahuinya bahawa Salaman seorang gubernur, Orang itu berkata kepada Salman, 'Tolong bawakah bakul ini,' dia mengira bahwa Salman seorang tulang kuli. Maka Salman al-Farisi membawakan untuknya bakul buah tiin itu sementara manusia lain melihat dan mengenalinya seraya berkata, 'Ini gubernur kita yang kita hormati'.”

Kedua orang sahabat Rasulullah saw yang mengamalkan ajaran Nabi itu sangat mengerti makna hidup rendah hati pada manusia lainnya, termasuk pada rakyatnya dengan sepenuh hati dan jiwa. Mereka tidak pernah minta diutamakan, tidak pula ingin dipuja-puja, tidak minta untuk dikenal, tidak minta di kursi paling depan kalau ada pertemuan. Namun manusia tetap memberikan rasa hormat padanya karena memang mereka patut untuk mendapat penghormatan itu. Mereka memiliki inner power yang menjadi magnet pribadinya.

Kisah Al-Makmun khalifah Bani Abbas yang cerdas, rasanya patut kita jadikan pelajaran juga bagaimana Al-Makmun memaknai kedudukannya sebagai abdi rakyat yang sebenarnya. Suatu hari Yahya bin Aktsam menjadi tetamu Al-Makmun. Kemudian Al-Makmun berdiri untuk mengambilkan air baginya. Yahya heran melihat apa yang dilakukan oleh khalifah kaum muslimin paling disegani di zamannya itu, sambil bergumam bagaimana mungkin seorang Amirul Mukminin datang dengan membawakan air baginya, sementara dia duduk di tempatnya. Melihat perbuatan itu rasa tidak sedap pada Yahya dan tanda tanya di mukanya, Khalifah Al-Makmun berkata dengan penuh tawadhu, "Pemimpin sesuatu kaum itu adalah pelayan mereka!" Indah sekali, bagaikan legenda. Namun itu kisah nyata. “ Rakyat di dahulukan, penmcapaian di utamjakan, bukan hanya sekedar selogan.

Maka benarlah apa yang pernah dikatakan seorang penyair:

Berendah hatilah engkau bagaikan bintang yang ada di dalam bayangan air. Padahal sebenarnya dia berada di angkasa nan tinggi. Dan janganlah engkau jadi laksana asap yang membubung sendiri di atas awan, sementara sesungguhnya dia adalah rendah sekali.

Sidang jumaat yang sama-saama mencari keridhan ilahi.

Suatu ketika Khalifah Ali bin Abi Thalib membeli daging seharga satu dirham. Kemudian dia membawanya dalam bungkusan. Salah seorang sahabatnya berkata padanya, "Aku saja yang membawanya wahai Amirul Mukminin!" Namun khalifah Ali bin Abi Thalib dengan santun berkata, "Jangan! Sebab orang tua dalam keluarga itulah yang paling pantas membawakan itu!" Ali menegaskan bahwa tidaklah berkurang kesempurnaan seseorang karena membawakan barang milik keluarganya.

Maka marilah kita belajar dari orang-orang besar dengan jiwa besar itu. Mereka besar karena memiliki kepribadian yang besar, memiliki hati yang lapang dan paradigma yang benar tentang makna hidup yang sesungguhnya. Saatnya kita belajar dari mereka tatkala negeri ini sedang memerlukan peminpin dengan jiwa besar, dengan pikiran besar, dengan hati yang besar, dengan visi dan misi besar yang terbungkus rapi dalam ketawadhu’an yang sempurna.

Sidang Jummat yang dimuliakan Allah SWT.

Maka milikilah sifat tawadhu, iaitu pandai menenpatkan diri kita, merendah hati. Ingin saya nasihatkan kepada para pelajar UTP yang saya sayangi khususnya, milikilah sifat tawadhu ini, walaupun kita sebagai maha siswa di beri layanan oleh gurui dan pensyarah itu sebagai kawan, Tetapi kena ingat, kita itu sebagai pelajarnya, maka sikap merendah diri dan sikap hormat kepada guru, hormat kepada ustaz dan hormat kepada pensyarah itu tetap kena ada, supaya kita mendapatkan ilmu yang manfaat dan ilmu yang berkat, inilah salah satu usaha kearah melahirkan graduan yang serba boleh dan serba soleh, Insan Ulul Albab, insan yang berfikir dan berzikir Hamba yang berilmu, beriman dan beramal.

Kepada semua kaum muslimin sekalian, Islam mengajarkan kita berbudi pekerti yang tinggi dan berakhlak mulia, merendah diri bukan menghinakan diri, tetapi sedar diri sebagai hamba, sifat sombong dan bongkak perlu di jauhi kerana itu sifat syaitan yang dikutuk.

Teguran halus dari Allah dalam Al-Quran sebagai mana Firman-Nya

Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. S Al-Isra 37

Disampaikan oleh : Ust Dawi Cahyono, Imam 1 Masjid an-Nur, UTP