*AMARAN!!! Pihak JAIPk tidak bertanggungjawab ke atas sebarang
penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan.
(
9 Zulkaedah 1432H / 7 Oktober 2011M)
HIDUP INI MEDAN
UJIAN
اَلْحَمْدُ
لِلَّهِ الْقَائِلِ،
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ
لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ ﴿٢﴾
Dia lah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan
keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa
(membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) - Surah al-Mulk:2
أَشْهَدُ أَنْ لآإِلهَ إِلاَّ
اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ
سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ
بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !
اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ
تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ
وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
Wahai hamba-hamba Allah sekelian!
Siapa
pun kita, sebesar mana pun kedudukan kita, sekaya manapun kita, insaflah bahawa
akhirnya kita akan kembali menemui Allah SWT apabila tiba saat dan ketikanya.
Semuanya kita akan tinggalkan kecuali bekalan sejauh mana kita berjaya
laksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah merangkap khalifahNya di atas
muka bumi ini. Maka bertaqwalah kita kepada Allah SWT kerana taqwalah
sebaik-baik bekalan kita apabila menemui Allah SWT kelak.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Naluri
semulajadi sebagai ibu dan bapa sudah tentu menginginkan anak-anak mereka
berjaya di dalam peperiksaan yang dilalui oleh anak-anak kesayangan mereka.
Seolah-olah peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM dan lain-lain peperiksaan itu
umpama ‘medan perang’ yang menentukan hidup mati anak-anak mereka di masa
hadapan. Segala prasarana dan kemudahan cuba sedaya upaya disediakan agar
mendapat deretan ‘A’ tercatat dalam slip keputusan peperiksaan anak-anak mereka.
Islam
tidak pernah sekali-kali menghalang dan mencantas naluri semulajadi ini, bahkan
Islam mendorong agar penganutnya mengungguli setiap kecemerlangan yang tidak bertentangan
dengan syarak seperti kecemerlangan di dalam peperiksaan kerana ia akan membawa
wajah yang cantik dan indah kepada Islam, lebih-lebih lagi di dunia persaingan
yang lebih terbuka dengan penganut-penganut agama yang lain.
Namun
perlu diinsafi oleh kita bahawa, Islam memerintahkan kita sebagai bapa
mengajarkan kepada anak-anak kita bahawa
kecemerlangan sebenar adalah kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Peperiksaan
umum yang telah dan akan kita duduki adalah peperiksaan-peperiksaan kecil yang telah
kita sedia maklumi sukatannya, telah kita maklumi tarikh dan jangkamasa untuk
menjawabnya bahkan kita mampu menghafal jawapan-jawapannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebenarnya
di hadapan kita, banyak lagi peperiksaan- peperiksaan yang akan kita tempuhi
dari masa ke semasa. Bentuk soalannya yang berbagai-bagai yang perlu kita jawab
adakalanya dengan pertuturan dan adakalanya dengan tindakan. Kita diuji dengan
senarai perintah-perintah Allah SWT untuk kita laksanakan, kita diuji dengan
senarai larangan-larangan Allah SWT untuk kita jauhi. Tidak ada had umur
tertentu untuk menduduki peperiksaan-peperiksaan ini melainkan kita akan
menerima sijil berhenti sekolah dengan diberikan kepada waris kita satu sijil kematian.
Malah semasa di alam barzakh, kita akan terus diajukan soalan demi soalan untuk
memastikan ketenangan atau kesengsaraan kita untuk tinggal di dalamnya. Sabda
Rasulullah SAW :
ماَ تَزَالُ قَدَمَا عَبدٍ يَومَ
القِيَامَةِ حَتَّى يُسأَلَ عَن أَربَعٍ عَن عُمرِهِ فِيمَ أَفنَاهُ وَعَن شَبَابِهِ
فِيمَا أَبلاَهُ وَعَن مَالِهِ مِن أَينَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنفَقَهُ وَعَن
عِلْمِهِ مَاذَا عَمِلَ فِيهِ
Tidak akan
berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia ditanyai
tentang empat soalan; tentang umurnya pada perkara apakah ia musnahkan, tentang
zaman mudanya untuk tujuan apa dihabiskan, tentang hartanya daripada mana ia
perolehi dan di mana ia habiskan, tentang ilmunya apakah yang dipraktikkan.(Hadith sahih
dalam al-Targhib wa al-tarhib )
Prestasi dan kemampuan sebenar kita, akan kita
terima keputusannya pada hari graduasi sebenar tatkala kita menerima catatan
amalan kita samada melalui tangan kanan atau sebelah belakang. Firman Allah SWT
:
فَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ ﴿٧﴾ فَسَوْفَ
يُحَاسَبُ حِسَابًۭا يَسِيرًۭا ﴿٨﴾ وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ مَسْرُورًۭا ﴿٩﴾
وَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ وَرَآءَ ظَهْرِهِۦ ﴿١٠﴾ فَسَوْفَ يَدْعُوا۟
ثُبُورًۭا ﴿١١﴾ وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا ﴿١٢﴾
kemudian sesiapa yang diberi surat amalnya dengan tangan
kanannya, maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, dan ia akan
pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang
diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, dan ia akan menderita
bakaran neraka yang marak menjulang.(Surah al-Insyiqaq 7-12)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertitik
tolak dari kefahaman di atas, seorang ayah sepatutnya tetap tidak bergembira
jika anaknya beroleh 5A di dalam UPSR jika anaknya gagal melaksanakan 5 kali
solat sehari semalam. Kita sepatutnya tidak terlalu gembira bila anak kita
mampu menjawab semua soalan peperiksaan namun gagal menjawab satu soalan mudah
iaitu ‘ mengapa kamu tidak menutup
aurat? ’. Apalah sangat kecemerlangan dengan mahirnya anak-anak kita dalam
membaca, menulis dan mengira (3M) jika dia gagal dan tidak tahu membaca
al-Quran. Kerajaan sepatutnya tidak berbangga dengan peningkatan prestasi
pencapaian peratusan matapelajaran setiap tahun sedangkan peningkatan ini
mengiringi peningkatan kes buang bayi, ponteng sekolah, penagihan dadah dan
sebagainya.
Oleh
kerana falsafah kebendaan telah menguasai masyarakat kita, sehingga kejayaan diukur
dengan pencapaian material maka falsafah peperiksaan ini semakin tersasar sehingga
ada kes anak-anak dihalang memasuki peperiksaan disebabkan kononnya demi
menjaga prestasi sekolah. Beritahulah anak-anak kita bahawa niatkanlah kejayaan
dalam peperiksaan untuk berkhidmat kepada agama nescaya akan lajulah mereka meluru
ke arah kejayaan-kejayaan yang lain.
Setiap
kali datangnya musim peperiksaan sepatutnya mengingatkan kita tentang
peperiksaan sebenar yang sedang dan bakal kita hadapi, nescaya kita akan cuba
menyediakan jawapan yang sebaik-baiknya melalui tindakan dan amalan kita.
Samada kita seorang ayah mahupun seorang anak, kita semua adalah sama di sisi
Allah dari sudut kita sedang dan akan diuji olehNya seterusnya kita akan
dihujani dengan soalan-soalan yang akan menzahirkan sejauh mana kita menunaikan
tanggungjawab sebagai hamba Allah dan sebagai khalifahNya.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ
بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ
وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ
السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ
الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ
وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ
التَّاءِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment