Cemburu selalunya dikaitkan dengan dunia percintaan manusiawi yang diselaputi dengan berahi yang tiada kenal berhenti. Di usia 40an juga gejolak kelelakian memberontak hendak menafikan gejala penurunan yang sedang dialami seorang lelaki yang terlalu disibukkan oleh kemaskulinannya. Ia akan lebih menyakitkan lagi jika ia cuba membandingkan dirinya dengan generasi yang lebih muda termasuk anaknya sendiri. Ia sukar menerima hakikat bahawa detik-detik penurunan fizikalnya ternyata sedang berdepan dengan kemungkinan penyingkiran diri dari arena orang-orang muda yang selama ini ia nikmati dan bangga-banggakan. Ia akan lebih menyakitkan lagi jika diusia itu ia masih terkinja-kinja hendak memancing gadis-gadis yang sedang meningkat matang yang dianggapnya serba lebih dari isterinya yang sudah lama berjasa kepadanya. Sakit ....sakit ! Memang sakit.
Kenapa hendak menempah sakit ? Bukankah itu saatnya untuk menyediakan diri ke era kematangan yang penuh dengan hikmah dan kebijaksanaan. Bukankah kelemahan fizikal dan pelbagai penyakit yang sedang bertunas itu umpama utusan Allah tentang dekatnya saat penghujung usia yang tiada diketahui bila tiba ? Bukankah kekurangan usia dan kebijakan akal yang dengan pukalan pengalaman hidup itu kesempatan memperbanyakkan taqarrub dengan Tuhan yang sentiasa terbuka pintu cinta-Nya kepada hamba yang bersedia ? Kenapa masih tersirna dengan cinta duniawi sementara Tuhan sedang mempermudahkan jalan kepadanya untuk meraih cinta sejati Ilahi ?
Melihat-lihat anak-anak muda mundar-mandir ke rumah Allah, sepertinya membangkitkan rasa cemburu yang lebih bererti. Bukankah janji Allah bahawa anak-anak muda yang hidup mereka membesar dalam iltizamnya beribadah itu tanda-tanda mereka akan terpilih di kalangan warga akhirat yang teristimewa ? Cemburu ? Memang patut cemburu kepada mereka . Mereka ternyata mampu menerjah nafsu muda mereka untuk mencari cinta kasih Tuhan yang lebih sejati. Mereka adalah gambaran ayat dari Surah al-Kahfi 'innahum fityatun amanu birabbihim wa zidnahum huda" ( Sesungguhnya mereka itu adalah para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka. Maka kami tambahkan bagi mereka petunjuk )
Dalam persekitaran di menara gading yang menawarkan kebebasan hidup tanpa kekangan yang bermakna, mereka mempunyai pilihan untuk menghamburkan begitu sahaja dorongan nafsu muda dan masa lapang yang sentiasa terganga. Tapi pemuda-pemuda terpilih ini menggunakan kebebasannya untuk memupuk iman dan taqwa. Dalam suasana kampus yang tidak pun menuntutnya untuk berlazim-lazim ke rumah Allah, dia menjadikan rutin berziarah ke rumah Allah sebagai rekreasi dan hiburan yang terasyik.
Cemburunya diri di usia awal tua ini melihat kegigihan permata iman ini mencari ridha Tuhan di rumah-Nya yang semakin terpinggir.
No comments:
Post a Comment