Fokus : Faham "Liberalisme" & "Pluralisme"
Pembicara Utama : Prof Madya Dr Anis Malik Thoha & Adnin Armas
1. Kesungguhan Mufti Negeri Perak dalam memperkatakan topik ini ke tengah gelanggan perlu dicontohi oleh semua individu muslim yang diberi amanah memegang tampuk kekuasaan. Menyedari bahaya terselubung yang sedang melanda umat Islam, persoalan fahaman yang dianuti secara sedar atau tidak oleh umat Islam, perlu dihalusi. Langkah mengadakan wacana ilmiah secara langsung di bawah badan kerajaan dalam subjek ini semakin jarang ditemui. Biasanya subjek yang dianggap berat oleh kebanyakan masyarakat, atau mungkin diambil ringan atau dianggap remeh oleh sebahagian lain, hanya dibincangkan secara serius di kalangan para cendikiawan/ ahli akademik dan kebanyakannya juga berakhir sebagai penemuan ilmiah semata-mata.
2. "Pluralisme" , seringkali dikelirukan dengan "plurality" , biasanya dipaparkan dengan wajah yang toleran, bersikap adil, menghormati hak wujud semua anutan atau seumpamanya. Memetik dari pembentangan Prof Madya Dr Anis Malik Thoha, kekeliruan memahami realiti pluralisme menyebabkan banyak pihak mengambil mudah isu ini dan menganggap tidak apa-apa bahaya yang timbul terhadap sistem nilai agama Islam. Namun keindahan pluralisme dari segi teorinya itu seringkali menjelma menjadi sebaliknya dalam realiti mana-mana masyarakat semasa. Hak eksistensi semua agama yang penganutnya boleh hidup berdampingan dan saling menghormati adalah keadaan ideal mengikut teori pluralis. Tapi dalam masa yang sama, golongan yang sebenarnya tidak terikat dengan apa-apa anutan agama secara committed justeru akan mendominasi dan menjadi 'host culture' dan menjadi penentu kepada standard nilai. Agama-agama justeru harus tunduk kepada nilai yang ditetapkan oleh golongan liberalis. Mereka yang menetapkan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh pemeluk agama.
3. Kertas kerja yg sangat ilmiah bentuknya oleh kedua-kedua pembentang mungkin sukar dicerna oleh kebanyakan peserta di tambah lagi dengan keterasingan mereka dari senario umat Islam sebenar di Indonesia. Membaca dari pemberitaan akhbar yang lebih sering mengangkat sisi buruk umat Islam di Indonesia, tampak jelas banyak peserta menanggapi isi kertas kerja bertolak dari persepsi buruk mereka terhadap pola kehidupan muslimin Indonesia. Saya percaya tujuan asal JK menampilkan dua sosok Indonesia bukan untuk para peserta untuk menganalisis situasi Indonesia, tapi sessi soal jawab yang menyusul pembentangan menampakkan para hadirin agak terbawa-bawa untuk membahas isu-isu Indonesia daripada memanfaatkan pengalaman buruk Indonesia berhadapan dengan ideologi perosak sebagai langkah awal membendung kerosakan yang bakal berlaku di Malaysia.
4. Gejala pluralisme/liberalisme di Malaysia diakui ada. Bahkan dengan tumbuhnya para pendukungnya membentuk jaringan dengan pendukung ideologi serupa di kawasan serantau, adalah dijangka mereka akan semakin mantap bertapak di Malaysia. Menjawab pertanyaan Mufti Johor, pembentang sempat menyebut betapa beliau agak terkejut dengan penganjuran Rumah Terbuka untuk semua perayaan keagamaan besar di Malaysia yang melibatkan umat Islam merayakan hari kebesaran agama bukan Islam. Sebagai susulan kepada pengangkatan isu ini, perkara berkaitan dengan 'kongsi raya' dan seumpamanya telah dimasukkan sebagai satu point di dalam resolusi. Datuk Seri Mufti Perak memaklumkan bahawa isu kongsi raya ini sebenarnya telah diajukan oleh para mufti kepada kerajaan sejak ia mula-mula lagi diperkenalkan tetapi tidak diambil endah.
5. Belum pun sempat resolusi dihasilkan secara bertulis untuk dipanjangkan kepada DYMM Sultan Perak, menteri-menteri kabinet telah pun melenting. Mereka sentiasa menilai apa isu pun dari kacamata politik. Memang sudah dijangka usaha ikhlas para ulama untuk membetulkan keadaan umat ini akan memberi impak kepada pendekatan politik semasa. Sedang mereka begitu bergairah untuk meraih sokongan rakyat pelbagai kaum dengan menunjukkan toleransi melebih batas syar'ie, sudah tentu kenyataan para ulama ini seperti sengatan elektrik dan tidak menguntungkan posisi mereka di mata semua kaum bukan Melayu/Islam. Reaksi negatif mereka sudah tentu akan lebih tajam lagi jika parti pembangkang menunjukkan sokongan kepada pandangan para ulama ini walaupun sudah kita maklumi bahawa pandang para ulama tidak sama sekali terkait dengan agenda membangkang kerajaan. Apakah kepentingan lain yang sedang dijaga oleh para ulama selain daripada menjaga kepentingan dan kesejahteraan iman umat Islam yang merupakan amanah di atas pundak para umara ? Kalau nak menjaga kepentingan sendiri, Mufti yang sering diungkit sebagai penerima gaji kerajaan sepatutnya berdiam sahaja menjaga periuk nasi mereka dan menjadi tukang bodek kerajaan. Tetapi realiti menunjukkan bahawa sebahagian mereka masih berpegang pada prinsip perjuangan umat. Jadi umat Islam, tanpa mengira di mana 'stand' politik mereka seharusnya berada di belakang para ulama dalam isu ini.
4. Tak syak lagi di kalangan para pengaku muslim yang liberal atau secara tak sedar sebenarnya mereka tu liberal, isu ini akan dilihat sebagai pandangan sempit para ulama. Sebenarnya isu ini menjadi ujian untuk mereka sejauh mana mereka sanggup menyembunyikan wajah mereka yang sebenar. Para ulama dan pendukung dakwah Islamiyah sudah tidak hairan dengan tohmahan liar mereka. memang itu sudah menjadi sunnah perjuangan mempertahankan kemurnian Islam ( al-Haqq) sebagaimana yang telah dilalui oleh semua rasul terdahulu. Tiada apa-apa kerugian yang dirasai oleh para pendukung dakwah atas sebab penentangan golongan liberal ini kerana menegakkan kebenaran itu satu 'tijarah lan tabur' ( perniagaan yang tidak mengenal erti rugi ). Apa yang digerunkan dengan penentangan oleh mereka yang lebih berpihak kepada kehendak nafsu dan keuntungan duniawi ?
5. Ketegasan berpegang kepada ajaran Allah yang mulia ini seolah-olah semakin memperkukuhkan lagi andaian picik ( mungkin lebih tepat di sebut 'mitos') bahwa para ulama dengan golongan kuat agama ini memang 'sempit', 'jumud', 'unrealistic', 'tidak practical', 'orthodox', 'ketinggalan sejauh 7 kurun ke belakang' dan berbagai-bagai lagi andaian yang mereka sangka adalah kriteria yang bertolak ke belakang dengan gaya berfikir lepas tanpa batas ( betul kah ini dinamakan 'bebas' ) mereka kini. Mitos ini akan terus berlanjutan dan berpindah dari mulut ke mulut sehingga mereka yakin benar bahawa merekalah penentu standard kebenaran dan apa-apa penyimpangan dari standard itu adalah 'kekeliruan' dan 'kesesatan' mengikut garis kehidupan terkini mereka. Sebenarnya mereka tidak pernah berminat memahami lebih mendalam lagi betapa perihatinnya dan betapa cukup tahunya para ulama dengan realiti masyarakat semasa. Kalau diuji pengetahuan mereka dengan pengetahuan para mufti tentang realiti semasa, dapat dipastikan kedudukan mereka akan terpojok. Hanya kerana mereka terlibat langsung dalam kehidupan yang bergelimang maksiat sahaja yang membuat diri mereka tertipu diri ( maghrur) seolah mereka tahu segalanya ttg hakikat dunia ini. Biasalah kalau sesiapa pun yang mereka keseronokan dunia mereka terganggu maka dengan spontan ia akan melenting mendengar suara-suara burung yang berceloteh tentang kesesatan gaya hidupnya. Maka akan dilancarkan usaha menterbalikkan cara kita memandang gaya kehidupan ini ; yang haqq akan digambarkan sebagai batil dan yang batil disolek sehingga ia tampak bagaikan yang haqq.
6. Yang nyatanya, inilah adalah indikator yang menandakan bahawa perjuangan menegakkan yang haqq demi menjaga kepentingan ummah belum lagi sampai ke tahap yang mampu membuat para pendukung dakwah duduk selesa. Bahkan boleh dijangka sampai bila-bila pun tidak akan muncul satu keadaan di mana sikap complacent akan menjadi ciri kejayaan dakwah. Para pendukung dakwah telah disamakan dengan para penjenayah kemanusiaan atas sebab andaian mereka bahawa ketegasan berpegang prinsip dakwah ini seolah merencatkan agenda perpaduan negara. Sebaliknya dengan berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan kemurnian Islam, para ulama dan pendukung dakwah sebenarnya telah menyumbang ke arah pembentukan ummah berakhlak yang juga akan menjadikan mereka sebagai ummah yang toleran tanpa mengganggu hak umat agama lain yang memilih untuk kekal hidup mengikut keyakinan mereka. Mereka tidak perlu khuatir dengan kukuhnya umat Islam berpegang pada cara hidup yang Islami kerana ia akan menjadikan hidup lebih selamat. Mereka tidak perlu risau kepada umat Islam yang hipokrit. Mereka patut lebih risau dengan sifat kepura-puraan golongan yang mempunyai vested interest terhadap sokongan mereka atas nama toleransi beragama. Golongan yang pragmaatik ini akan mudah bertukar arah jika mereka suatu hari kelak memandang bahawa pendekatan semasa mereka tidak lagi memberi pulangan politik untuk mencapai tujuan mereka.
No comments:
Post a Comment