Sebut saja AF, maka wajah mutakhir AF tidak akan dapat lari dari dominasi luar biasa oleh juara terakhirnya ....... MAWI ! Memandangkan Mawi merupakan tanda aras bakal-bakal pemenang AF akan datang, maka tidak terlambat rasanya mencongak apa agaknya kesan AF4 dan seterusnya dengan menonjolkan fenomena Mawi.
Maka kali ini saya sengaja memilih istilah EPIDEMI sebagai tajuk memandangkan kesan AF dan sekutunya itu sendiri memang tidak ubah seperti epidemi yang mengubah corak hidup masyarakat Islam di seluruh negara. Bayangkan setiap hari jadual menatap saluran yang menampilkan aktivi harian para peserta AF akan menjadi agenda 'must see'. Jika tidak mengikuti perkembangan dari hari ke hari, maka AFUNDI yang dilaburkan akan jatuh pada pilihan yang salah. Setiap malam Ahad akan menjadi lengang, bahkan aktiviti lebih penting pun kena batal kerana jika diteruskan juga , maka kuorum tidak akan terpenuhi. AF benar-benar bertindak umpama satu epidemi. Cuma yang tidak adalah kenyataan rasmi oleh pihak yang berkuasa mengisytiharkan keadaan darurat. Tiada panduan langkah berjaga-jaga agar tidak terjangkit kerana banyak yang lebih rela dijangkiti daripada diberi imunisasi atau dirawat dengan vaksin yang bersesuaian.
Wabak Mawi yang mempopularkan dirinya dengan keyword WORLD melanda bagai tsunami di musim AF3. Tidak pernah segenap jajaran masyarakat Melayu tersentuh begitu oleh artis-artis instant Maestro sepertimana mereka semua tergelitik untuk membicarakan fenomena Mawi. Tiada siapa hairan kalau yang berbicara tentang kelihaian Mawi adalah di kalangan anak-anak gadis/makcik dari ceruk dapur, atau warga kampus atau pengunjung setia kedai-kedai kopi. Kali ini memang lain. Dewan Parlimen pun ikut tergelitik untuk membahas isu MAWI kerana kelainan yang ditampilkan oleh Mawi. Penulis-penulis ternama pun tidak mahu ketinggalan lalu ikut memberi tanggapan mereka tentang fenomena yang dianggap angin baru dalam industri hiburan Melayu meskipun AF telah masuk ke musimnya yang ke-3. Mawi yang menampilkan sosok budak alim dianggap sesuatu yang unik di atas pentas yang menampilkan persembahan tubuh terliuk-liuk, anggota berahi wanita jadi pajangan, peluk rangkul lelaki-wanita disenikan, suara desah artis yang menonjolkan pujuk-rayu memecahkan gegendang telinga dan membuai nafsu.
Mawi kini menjadi tanda aras penglibatan artis "alim". Apa yang Mawi buat akan boleh menjadi fatwa tak rasmi sejauh mana seseorang yang ingin mempertahankan iman mereka boleh melibatkan diri dalam industri yang biasanya mempunyai hubungan yang amat intim dengan sumber-sumber maksiat. Mereka peduli apa dengan pandangan para tokoh agama yang dipandang kekeringan idea yang praktikal di tengah-tengah perubahan peradaban manusia semasa. Ulama dianggap tidak memiliki keupayaan memberi solusi selain daripada menunjukkan sempadan haram ... dan haram ... dan haram. Mawi secara tidak rasmi kini menduduki posisi "ulama progresif" di mata pemujanya. Apa sahaja pandangan orang lain yang bertembung dengan cara Mawi menampilkan sosok alimnya akan berhadapan dengan kutukan para supporter "World". Tsumawi benar-benar melanda sehingga mangsanya yang telah tenggelam dalam asakan arusnya seolah-olah tidak nampak sosok ideal lain selain daripada Mawi.
Salahkah Mawi ? Mungkin pada pandangan kasarnya ....apalah salah Mawi ? Dia hanyalah seorang pemuda polos yang, mengikut pengakuannya sendiri, tak tahu pun bagaimana wajah sebenar AF1 dan AF2 kerana ketiadaan Astro di tanah terokaan Felda Andak. Mawi mungkin tulus menampilkan kepolosannya yang memang dari asalnya lebih terdedah dengan budaya berzanji, azan, mengaji dan nasyid. Mungkin banyak yang bersedia memaafkan keterlanjuran Mawi yang sedikit-sedikit kena menari dengan perempuan, pegang-pegang tubuh atas sebab 'darurat' untuk tidak merosak formasi kreografi yang mesti dipertahankan kerana ia masih dianggap tidak keterlaluan jika diukur dengan trend hiburan terkini. Ya, mereka akan cuba belajar memaafkannya walaupun sikit-sikit terbabas dari batas-batas syar'i percampur-bauran ( ikhtilat ) lelaki-perempuan yang dibenarkan oleh syarak. Mereka sukar untuk memisahkan antara kehendak berhibur dengan meletakkan batas pada hiburan itu kerana ia dianggap mencacatkan mood ke'terhibur'an mereka.
Adakah semua itu menjadi masalah ? Kalau di dalam sistem perundangan buatan manusia, batas-batas legitimasi sesuatu perilaku boleh berubah mengikut relevansi pandangan masyarakat setempat/semasa, maka tidak sedikitlah yang menuntut agar kaedah pengganjakan batas hukum yang sama dapat diaplikasikan dalam hukum syarak. Bayangkan kalau di negara adikuasa yang menjadi patokan standard demokrasi seperti Amerika Syarikat boleh mengganjakkan undang-undang larangan meminum arak menjadi 'boleh' atas sebab ketidak-mampuan rakyatnya meninggalkan kebiasaan bermabukan. Maka apakah pantangnya kita sebagai negara pengikut demokrasi juga mengganjakkan batas keharusan syar'i dalam industri hiburan agar para artis yang 'malang' tidak dengan sewenang-wenangnya dihukum dosa atas keterpaksaan mereka menyelaras diri dengan trend semasa ? Beginilah harapan para pecandu hiburan tanpa ada usaha yang mencukupi untuk memahami kenapa batas-batas syarak ditetapkan oleh Allah. Jangankan hendak bercakap tentang maqosid asy-syara', nak bercakap tentang hak mutlak Allah dalam penentuan hukum pun bukan perkara yang mudah untuk diterima hasil daripada kehebatan usaha mengacuan budaya pada pola pemikiran non-Islamic. Bercakap tentang kesyumulan Islam rasanya sama sahaja penerimaannya.
Budaya hedonisme yang manifestasinya amat ketara sekali dalam industri musik dan lakonan kini menjadi trend-setter dalam segala aspek kehidupan masyarakat Melayu / Islam kita. Segala aspek kehidupan kita dicorakkan oleh gaya kita berhibur. Baik-buruk persoalan lain dalam kehidupan dikuasai oleh perhitungan kita mencongak besar-kecilnya peluang kita terhibur. Bahkan aspek terpenting dalam kehidupan setiap nyawa muslim yakni IBADAH pun harus ditentukan dengan cetek-dalamnya kesan terhibur atau tidak.Masyarakat kita dengan mudah menghukum bahawa mesej agama tidak sampai kepada mereka kerana cara penyampaiannya tidak cukup menghiburkan. Jika cara mereka berhibur dikesan terbabas dari batas syarak, maka yang salah tu bukan pelakunya, tetapi yang salah adalah batas syarak itu sendiri. Bahkan ada yang berani berhujah dengan menyalahkan batas syarak yang terlalu sempit dan rigid sebagai sebab para pejuang seni disalah-tanggapi oleh masyarakat. Mereka menuntut agar batas itu dilonggarkan seolah-olah longgar dan ketatnya penafsiran batas syarak itu terletak pada wewenang para ulama.
Mawi yang ditonjolkan sebagai budak alim, tak tinggal sembahyang dan berdoa sebelum naik ke pentas kini menjadi icon pengganjakan batas syar'i ini. Disedari atau tidak, semakin banyak anak-anak muda yang dibesarkan dengan nilai agama dengan begitu cermat oleh ayah-bunda kini melihat sinar "cahaya terang di hujung terowong" ( light at the end of the tunnel) untuk membolehkan mereka melepas diri dari pantang-larang yang selama ini menghantui mereka. Bukan hanya populariti yang menjadi sasaran. Taburan nilai hadiah mencecah RM 300K seperti yang dikecapi oleh Mawi dan peluang menjadi jutawan segera selepas bergelar juara adalah godaan yang sukar ditolak. Iman yang selama ini disemai secara sambilan melalui kelas-kelas agama di persekolahan, dicairkan dengan kehidupan yang diasak dengan hiburan yang tiada henti-hentinya oleh media elektronik dan cetak, dilebur di dalam acuan kegilaan kepada permainan era digital seperti PS dan adik-beradiknya, kini lumat dikunyah oleh EPIDEMI FANTASIA.
Maka tidak hairanlah jika di dalam banyak pertemuan Datuk Seri Hj Harussani, Mufti Perak yang dikenali sebagai Mufti yang paling lantang bersuara, meletakkan budaya berhibur yang melampau pada ranking No.1 dalam carta unsur perosak akidah umat Islam. Di kalangan pejuang tulen yang mengimpikan pembinaan tamadun ummat atas asas yang kukuh di masa hadapan, jelas benar kerisauan terhadap nasib umat ini tertumpu kepada budaya berhibur yang tidak kenal batas halal-haramnya :
1. Generasi yang mabuk dalam takungan hedonisme ini, jika wabaknya menjalar ke satu tahap yang mungkin tidak terubat, akan melahirkan kuasa suara demokrasi yang akan memilih untuk hidup lepas dari segala nilai agama yang mereka anggap kolot dan merencatkan hak asasi mereka. Kuasa demokrasi inilah yang akan mengikis habis pengaruh dan peruntukan perundangan yang berasaskan agama yang telah sedia sedikit di dalam jenjang kekuasaan kita.
2. Ketagihan kepada hiburan tidak kurangnya bahayanya dengan ketagihan dadah yang memang disediakan pusat-pusat serentinya walaupun keberkesanannya tidak kunjung tampak. Ketagihan kepada hiburan bukan sahaja tidak disediakan wadah untuk terapi, bahkan sebaliknya disokong kuat dengan dana kewangan yang hampir tiada batas , terutama sekali oleh mereka yang berkepentingan untuk mengaut keuntungan dari mangsa ketagihan hiburan. Mereka tahu pasti bahawa mangsa ketagihan ini tidak kenal erti susah untuk mencari ruang berhibur walaupun dengan sumber kewangan sedikit hasil perahan keringat mereka atau dengan sumber wang yang tidak kenal batas haram. Apa nak dihairankan dengan sumber rezeki halal atau haram kalau tempat yang disasar untuk keluarnya sudah jelas haram ?
3. Disokong dengan promosi yang begitu kuat melalui pelbagai media, pemuja budaya hedonis tidak nampak wadah sebenar yang membangunkan tamadun kemanusiaan yang sejati. Walau nafas mereka sesak oleh sodoran wajah-wajah artis idola, bagi mereka menduduki tempat para artis pujaan adalah gaya hidup yang paling ideal. Tokoh-tokoh ilmuan dan pejuang moral tiada tempat di hati mereka kerana dunia ilmu dan tanggungjawab sosial menuntut pengorbanan berfikir secara serious dan memberatkan otak. Amat berbeza dengan dunia hiburan yang tidak memerlukan gaya hidup berdisiplin dan berfikir berat. Bahkan dalam kebanyakan halnya hiburan itu sendiri hanya dapat dicapai melalui pelanggaran segala norma. Untuk dipuja, kita hanya perlu mengorbankan rasa malu walau berapa pun harga yang harus dibayar. Buat apa mencari pengiktirafan melalui akitivi minda yang berat kalau kesenangan hidup dapat diperolehi dengan cara yang lebih mudah.
4. Budaya berhibur membentuk masyarakat yang semakin materialistik kerana keterhiburan itu sendiri hanya dapat dicapai melalui proses pencerapan deria fisikal dan berakhir pada kesan 'ecstacy' di hujung rasa. Apa-apa perkara yang tidak memberi kesan kenikmatan fizikal tidak mempunyai tempat di hati para hedonis. Maka tidak hairanlah timbul di kalangan rasa 'kasihan' kepada golongan yang iltizam menjalankan kehidupan beragama kerana pada pandangan mata kasar mereka golongan ini telah menafikan hak diri mereka untuk mengecap nikmat berhibur. Mereka tidak akan mampu memahami betapa dalamnya kesan nikmat bertazkiah dengan menundukkan diri pasrah kepada Allah.
5. Golongan pemuja hiburan melampau ini akan melihat segala aktiviti hidupnya sebagai alat mencari hiburan. Maka aspek kehidupan yang serious, contohnya perkahwinan, pun akan dijadikan sebagai pentas hiburan belaka. Perkahwinan bertahan jika pasangan boleh memberi kenikmatan fizikal seperti wajah yang cantik/tampan, body yang menggiurkan, pujuk-rayunya dinilai romantik. Hubungan ini seringkali dijejal rasa takut memegang tanggungjawab seperti ada anak, kekalahan saingan rupa dengan gadis-gadis yang baru, kehilangan bentuk tubuh yang dianggap ideal, kelajuan proses penuaan yang semakin jelas pada raut wajah dan kedutan kulit. Pasangan dengan mudah menamatkan ikatan perkahwinan atas alasan yang sepele seperti sudah tawar hati, tiada persamaan, pasangan tidak dapat menampung keinginan gaya hidup mewah yang mengikut trend semasa atau seumpamanya. Tanpa rasa tanggungjawab menjadikan perkahwinan sebagai wasilah ibadah, tidak menghairankan jika di kalangan para hedonis perkahwinan menjadi persinggahan sementara masih ada mood nak mengekalkan pasangan.
6. Musuh yang menginginkan keruntuhan sesuatu bangsa melihat ruang-ruang kelemahan di dalam budaya berhibur tanpa batas ini. Maka jangan hairanlah event yang melibatkan hiburan ini mampu menarik sponsorship yang nilai 'monetary'nya boleh beratus kali ganda dibandingkan jumlah sponsorship untuk aktiviti ilmiah atau kebajikan. Jangka masa menarik dana jutaan pun cukup singkat ! Di sinilah kita akan melihat watak pihak yang selalunya kita anggap musuh akan sangat bermurah hati memberi 'bantuan' kewangan.
No comments:
Post a Comment