Wednesday, November 22, 2006

Bersyahadah Sahajalah untuk Mengelak Fitnah

Takrif "iman" yang diterima pakai secara meluas adalah "mengakui benar (tasdiq) di dalam hati, mengaku (taqrir) dengan lisan dan mengamalkannya dengan anggota (tubuh)".

Iman itu memang terpentingnya adalah yang ada di hati. Tapi urusan hati ini hanya diketahui antara Allah dan hamba itu sendiri. Manusia lazimnya tidak dapat menghukumkan secara nyata apa yang ada di hati.

Lantaran itu, di zaman Rasulullah saw pun orang2 munafiq tidak dihukum secara duniawi. Hanya sahaja Allah menyingkap satu-persatu perwatakan mereka melalui firman-Nya , di antaranya adalah ayat 8-20 surah al-Baqarah, dan lisan Rasul-Nya yang mengungkapkan ciri-ciri nifaq. Para sahabat mengenali sikap2 nifaq yang zahir di kalangan Abdullah ibn Ubay dan sekutunya tapi mereka tetap diperlakukan secara zahirnya seperti orang Islam.

Namun demikian ada perkara yang penting dizahirkan secara nyata. Jika ia disembunyikan dari manusia, maka ia akan menimbulkan fitnah. Menzahirkannya juga tidak dihukumkan riya, bahkan ia memberi kesan positif ke arah menyuburkan yang ma'ruf dan mencegah kemunkaran.

Kenapa solat berjamaah begitu diambil berat contohnya? Bukankah urusan solat itu hal peribadi antara seseorang abid dengan Ma'bud-Nya (Tuhan ) ? Tidak cukupkah dengan solat secara bersembunyi dan membiarkan manusia tertanya-tanya sama ada kita ini beriman kepada Allah atau pun tidak ? Memang bukan itu tujuan utama solat berjamaah. Tapi tidak juga tertolak bahawa selain daripada tujuan kesatuan ummah dan mengeratkan ukhuwwah, terdapat di dalamnya unsur pembuktian iman dengan amal yang dapat dinilai secara eksplisit oleh manusia di sekeliling kita. Dengan disaksikan oleh mata kepala orang sekeliling kita seseorang itu solat berjamaah bersama dengan kata , ternyata dia dapat dikenali dengan pasti sebagai seorang muslim. Namun urusan hati dia, munafiq atau riyak, adalah antara dia dengan Allah. Urusannya sesama manusia telah pun terpenuhi.

Fikirkanlah kenapa ditekankan pentingnya kita mengadakan walimah apabila sudah ijab kabul walaupun hukumnya sunat ? Kenapa kita mesti menutup aurat walaupun ada yang beralasan bahawa yang penting itu adalah menjaga iman di hati ? Fikirkanlah kenapa kita sebaiknya menzahirkan akad jual-beli sebagai tanda ridha untuk memastikan status harta itu telah berpindah-milik ?

Sedangkan perkara yang kita anggap sunnah atau mustahabb sahaja pun dianggap penting untuk menzahirkannya dan mengelakkan fitnah dan prasangka liar berlaku. Inikan pula persoalan iman dan ke-Islaman kita.

Hanya orang kafir ( maaf kalau perkataan ini pun ikut menyinggung sebahagian kita seperti tersinggungnya Lim Kit Siang/Karpal Singh/Samy Vellu di Parlimen mendengarnya ) yang menganggap bahawa agama itu urusan peribadi antara dia dengan Tuhan. Di dalam Islam kita tidak berpegang kepada fahaman bahawa agama adalah urusan yang terhad dalam lingkungan kepercayaan semata-mata. Tuntutan untuk kita beriman dan masuk Islam kepada secara kaffah ( menyeluruh) juga bermakna menzahirkan apa yang sepatutnya diamalkan secara zahir, dari urusan peribadi ke urusan negara dan ummah.

Bersyahadah adalah pintu masuk kepada iman. Ia juga pembuktian zahir yang dapat dinilai oleh setiap manusia di sekeliling kita bahawa kita adalah seorang yang beriman dan layak diajak bergaul diperlakukan serta dihukum sebagai seorang muslim. Apabila kita meninggal maka menjadi kewajiban (fardu kifayah) bagi sekelompok orang Islam di sekeliling kita untuk menyempurnakan jenazah kita sebagai seorang muslim. Kalau pun -auzubillah- seseorang itu murtad tanpa diketahui, org Islam di sekelilingnya telah terlepas dari kewajiban mereka kepada Allah .. yang tinggal hanya urusan si murtad itu dengan Tuhannya.

Sebab-sebab terbatal dan terlucutnya syahadah seseorang juga dibicarakan secara panjang lebar oleh ulama muktabar seperti Dr Yusuf al-Qardawi, Sa'id Hawwa, Ibnu Baz dll. Kalau kita cuba memahami sedalamnya begitu banyaknya pintu2 keluar dari syahadah nescaya kita akan sangat berhati-hati dengan tutur-kata dan perbuatan kita umpama seseorang yang digambarkan oleh Sayyidina Umar berjalan di jalan yang penuh duri sebagai tanda takwanya !

Sebagai seorang yang beriman, lidah kita tidak akan sanggup mengungkapkan kata-kata seperti "saya tidak perlu memberi tahu sama saya masih Islam atau tidak", "Itu urusan antara saya dengan Tuhan" , "This is not a judgement day", "Saya tidak perlu mengucap!" dan membiarkan saudara se-Islam yang menyayangi kita tertanya-tanya dan resah dengan kerenah kita ?

Lagipun apalah susahnya bersyahadah "AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH, DAN AKU BERSAKSI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH". Seorang muslim sanggup melakukannya walau beberapa kali pun jika diminta bahkan berbangga melafazkanya. Bukankah setiap hari kita dengan mudah dan kadang-kadang tak tersedar yang kita mentajdidkan syahadah kita.

Memang ada yang bersyahadah tanpa maksud mengimaninya seperti Prof Khoo Kay Kim yang terbiasa mengucapkan "La ilaha Illa Allah " atau seperti Meenachi yang disebut oleh posting sebelum ini. Jika ia mengucapkannya tanpa niat beriman dan mengaku pula tidak bermaksud mengimani sudah tentu tidak diterima sebagai tanda Islam. Bahkan jika diucapkannya dengan maksud beriman di hati namun di lisannya ia mengatakan ia tidak beriman, mungkin kerana ancaman/tekanan/jaga air muka, maka Allah akan menilai dari hatinya ... terserah kepada Allah. Tapi sebagai manusia biasa, kita hanya dapat menilai melalui pengakuannya.

Maka dalam kes mengelak fitnah yang boleh menimbulkan keraguan yang bersifat begitu merata ke segenap tubuh ummat, apalagi oleh seorang tokoh yang disayangi saudaranya kerana kewiraannya, maka lebih patut lagi baginya untuk menghilangkan fitnah ini dengan melakukan sesuatu yang tidak menuntut pengorbanan yang berat selain dari melafazkan syahadah. Apakah kerugiannya kepada dia kalau sahaja dia mahu mengucapkan kalimah syahadah itu pada kesempatan yang begitu baik tanpa perlu pihak ketiga di sebelahnya untuk membuat kesimpulan bahawa dia 'masih seorang muslim', 'tidak ada kena-mengena antara kepercayaan dan perbuatan [?]", 'dia tak pernah keluar Islam'. Bukankah sikap seperti itu menimbulkan lebih banyak kekaburan daripada memberi jawaban yang boleh menyingkapkan kebenaran dan kejelasan ?

Apapun sebagai manusia yang lemah, diberi kemampuan akal yang amat terbatas, kita hanya dapat memberi penilaian berdasarkan apa yang kita saksi dan dengar. Urusan hati tetap kepada Allah jua. Urusan sesama manusia akan diputuskan mengikut hukum zahir !

Semoga sahaja Allah menanamkan nikmat izzah dengan iman di diri kita semua .

Abu Faiz
221106

No comments: