Tuesday, July 18, 2006

Kes Azlina Jailani Murtad

Kes Azlina Jailani (Lina Joy) lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendaftaran Negara & Kerajaan Persekutuan:



Usaha Menjatuhkan Martabat Islam dan Menggugat Identiti Bangsa?



LATAR BELAKANG KES SAUDARI AZLINA JAILANI @ LINA JOY



Azlina Jailani (42 tahun) sekarang berdaftar sebagai Lina Joy untuk menafikan nama Islamnya yang terdahulu. Beliau berbangsa Melayu berketurunan Jawa serta berasal dari keluarga Melayu Islam. Beliau telah diberikan pendidikan asas Islam dan dibesarkan sebagai seorang Islam oleh keluarganya.



Bagaimanapun Saudari Azlina mendakwa dalam afidavitnya beliau tidak pernah mempraktikkan Islam sejak lahir, beragama Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990 dan mempunyai sijil Baptis yang dikeluarkan pada 11 Mei 1998. Pada tahun 2000 beliau menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan seorang India Kristian dan meminta untuk didaftarkan perkahwinan tersebut untuk mengesahkan perkahwinan beliau.



Beliau membuat permohonan sejak tahun 2000 untuk membuang perkatan Islam di dalam kad pengenalan tetapi tidak dibenarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disebabkan tiada kebenaran dari Mahkamah Syariah membenarkan beliau keluar Islam. Beliau memohon di Mahkamah Tinggi suatu perisytiharan bahawa beliau telah keluar Islam dan mendakwa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan membenarkan beliau keluar dari Islam. Permohonan beliau ditolak atas dasar Mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa membicarakan perkara berkaitan syariah. Selain itu Mahkamah juga menolak permohonan beliau atas dasar definisi Melayu.



Beliau kemudian memohon kepada Mahkamah Tinggi hak untuk tidak disebut agamanya dalam kad pengenalan. Permohonan ini juga ditolak dan beliau merayu kepada Mahkamah Rayuan. Setelah Mahkamah Rayuan menolak, beliau kini membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.



Dalam kes ini, buat kali pertama Mahkamah telah membenarkan peguam pemerhati mewakili pelbagai pertubuhan memberikan hujah. Kes ini juga mendapat perhatian pelbagai badan bukan Islam dan kedutaan asing (seperti Majlis Perunding AgamaHindu, Kristian, Buddha dan Sikh, dan pemerhati luar negara seperti wakil kedutaan Amerika, Australia, dan lain-lain). Suatu kempen di peringkat antarabangsa juga telah dibuat bertujuan antara lain memberikan kebebasan umat Islam di Malaysia menukar agama.





IMPLIKASI KES LINA JOY IMPLIKASI KES AZLINA JAILANI @ LINA JOY



Isu:



Sama ada seseorang Islam itu berhak menggugurkan agama Islam di dalam kad pengenalan dan kemudian membolehkannya menukar agama.
Sama ada Artikel 11(1) membenarkan seorang Melayu/Muslim mengisytiharkan diri keluar Islam dengan sendiri tanpa perlu pengesahan Mahkamah Syariah dan memilih agama lain untuk dianuti dan diamalkan. Ini kali pertama isu Artikel 11(1) dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan untuk ditafsirkan.


Islam & Identiti Melayu



Islam sudah amat sebati dengan Melayu. Perlembagaan Malaysia sendiri mendefinisikan Melayu sebagai:



Beragama Islam,
Berketurunan Melayu; dan
Mengamalkan budaya Melayu dan bercakap Melayu. Islam melangkaui batas definisi undang-undang. Islam adalah identiti bangsa Melayu di Malaysia. Nenek moyang kita mempertahankan identiti ini dan tidak mengubah agama mereka meskipun dijajah kuasa besar Kristian hampir 500 tahun.




Kesan kepada status dan peranan ISLAM di Malaysia.



1. Artikel 3 yang memperuntukkan kedudukan Istimewa Islam sebagai Agama Persekutuan akan semakin terhakis kerana Islam akan dianut dan diamalkan seperti agama lain. Mengikut Perlembagaan, Islam diletakkan di status yang tinggi dan berbeza daripada agama lain. Contohnya, kelebihan seperti dalam Perkara 12(2) kuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan oleh kerajaan (Persekutuan & Negeri) kepada institusi-institusi Islam seperti Masjid, Sekolah Agama Rakyat, dan lain-lain. Sekiranya Mahkamah Persekutuan berpihak kepada Lina Joy, status ini dibimbangi akan terhapus.



2. Bidangkuasa Mahkamah Syariah sebagaimana dalam Perkara 121(1A) juga akan terhakis kerana membenarkan orang Islam menggugurkan agama Islam dalam kad pengenalan akan membolehkan orang Islam keluar Islam tanpa melalui proses perundangan Mahkamah Syariah.



3. Perkara 11(4), kerajaan negeri boleh menggubal undang-undang menyekat dakyah agama lain kepada orang Islam. Jika kes Lina Joy dibenarkan, Artikel 11(4) akan tidak bermakna lagi dan orang bukan Islam boleh memurtadkan orang Islam.



4. Artikel 160 - MELAYU ditafsirkan sebagai beragama ISLAM. Membenarkan Lina Joy mengisytiharkan keluar Islam bermakna membuka ruang untuk bangsa Melayu hilang identiti Islamnya. Ini juga bermakna hubungan istimewa Melayu Islam yang diiktiraf oleh Perlembagaan akan terhapus.





Kesan kepada Institusi-institusi di bawah naungan Raja-Raja Melayu



Kes Azlina Jailani mencabar dan menghakis kedaulatan dan kuasa Raja-Raja Melayu dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
Menjejaskan Kuasa Mahkamah Syariah di negara ini dalam semua perkara berhubung dengan Islam.
Seseorang Melayu Islam bebas menganut dan mengamal Islam mengikut kehendak dan tafsirannya sendiri. Institusi seperti Majiis Raja-Raja, Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam tidak mempunyai hak untuk mengawalselia cara dan kaedah penganutan dan pengamalan Agama Islam. Ini bermakna tidak ada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mana-mana individu beragama Islam seperti berkhalwat, berzina, minum arak dan sebagainya.


Murtad adalah suatu kesalahan disisi hukum syara’ dan apa-apa persoalan yang berkaitan dengannya semestinya ditangani oleh para ulama. Dari sudut perundangan negara, forum sebenar untuk membincangkan persoalan murtad adalah Mahkamah Syariah.



Kedudukan Islam di Malaysia sebagai rasmi Persekutuan dan kedudukan istimewanya yang merupakan antara prinsip asas perlembagaan dan intipati kontrak sosial tidak wajar dipersoalkan lagi.



HAKIKAT DI SEBALIK KES AZLINA JAILANI DAN KES-KES SEPERTINYA



Akhir-akhir ini seperti terdapat satu usaha agresif dan berterusan bertujuan menggugat kedudukan Islam di Malaysia melalui saluran perundangan. Ini dapat disaksikan melalui deretan kes-kes yang timbul selain Azlina Jailani seperti Kamariah Ali dan lain-lain kes murtad, kes Muhammad Abdullah @ Moorthy selain isu penubuhan Interfaith Commission (IFC), ‘ Article 11’ dan lain-lain.



Situasi ini menjadi hangat kerana penglibatan aktif pelbagai organisasi dan individu (Islam dan Bukan Islam) yang bergerak atas nama hak asasi, kebebasan dan seumpamanya. Mereka juga turut menggerakkan kempen yang sama di peringkat antarabangsa.



Walau apapun niat mereka, hakikatnya usaha ini tetap mendatangkan banyak kesan buruk dan merumitkan keadaan. Ia turut boleh mengakibatkan ketidakharmonian dan menjejaskan kestabilan dalam masyarakat berbilang agama di negara kita.





APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN



Sekiranya anda seorang profesional:



Berikan sumbangan masa, tenaga, buah fikiran dan kewangan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam yang mendokong gerakan ini.
Anda boleh membantu memperkasakan gerakan Islam berdekatan anda dengan menganggotai pertubuhan tersebut dan seterusnya membantu gerakan ini.


Sekiranya anda seorang peguam:



Anda perlu menganggotai Peguam Pembela Islam dan memberikan sumbangan.
Anda boleh menawarkan diri untuk turut sama memberikan penerangan dan menjalankan kempen kepada masyarakat mengenai isu usaha memperlekehkan Islam di dalam Perlembagaan ini dengan menghubungi ABIM dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
Anda boleh menawarkan diri untuk menjadi panel peguam untuk kes-kes seperti ini


APA YANG ANDA BOLEH SUMBANGKAN SEBAGAI INDIVIDU



Menggandakan risalah ini dan mengedarkannya kepada masyarakat. Ia boleh dimuaturun di laman web berkenaan.
Menjalankan kempen secara peribadi mendesak kerajaan mempertahankan kedaulatan Islam di negara ini dengan menandatangani petisyen kepada Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pihak berkaitan.
Menandatangani memorandum kepada pemimpin kerajaan yang akan disediakan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang boleh didapati di laman-laman web berkenaan.
Menghantar surat kepada media cetak terutama akhbar utama menyatakan bantahan terhadap sebarang usaha menggugat kedaulatan Islam di Malaysia.
Menghubungi pertubuhan dakwah dan gerakan Islam yang memperjuangkan isu ini dan memberikan sumbangan buah fikiran, tenaga atau sekurang-kurangnya sumbangan kewangan.
Menjaga keutuhan keluarga dan memberikan asas kefahaman Islam seutuhnya kepada ahli keluarga anda.
Sentiasa mendoakan kesejahteraan dan pemartabatan Islam di negara ini.


Apa yang boleh disumbangkan oleh kelompok



Menganjurkan majlis solat hajat dan majlis penerangan mengenai isu ini di tempat anda.
Menghubungi gerakan Islam untuk khidmat penerangan isu ini di taman-taman perumahan, surau, masjid, pejabat dan lain-lain.
Menganjurkan kempen Keindahan Islam dan memberikan penerangan dengan bantuan pakar kepada bukan Islam mengenai Islam.


Diterbitkan oleh

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

d/a Sekretariat ABIM Pusat,

Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak

53100 Kuala Lumpur

Tel: 03-6188 0300

Faks: 03-6189 6700

Email: abim@po.jaring.my



Laman web:

MYIslamnetwork.net

defendersofislam.net

ABIM

membela_islam



Risalah ini hak semua pihak yang cintakan agama. Sila gandakan dan edarkan